Friday, March 9, 2012

CERMIN DIRI; KITA & MEREKA

Bismillah..

Alhamdulillah. Sedikit dari saya buat sekian lama :)

...........................................................

Pergolakan di Syria benar-benar mengetuk pintu hati saya selaku insan yang lemah. Kita melihat penindasan tanpa perikemanusiaan. Dari pandangan seorang manusia secara fitrahnya; pandangan simpati buat mereka. Namun pada hakikatnya bukan pandangan itu yang mereka harapkan. Apa yang mereka harapkan agar dari kisah inilah bangkitnya jiwa-jiwa yang terlena dibuai dunia. Bangkitnya pemuda pemuda dari hanyutan hiburan. Bangkitnya iman agar prihatin sesama saudara.

Pilu, malu dan terinspirasi apabila melhat kisah seorang anak kecil berusia 4 tahun yang kematian ibunya. Dengan penuh bersemangat tanpa linangan air mata, si kecil melaungkan takbir dan slogan supaya Basyar Assad dijatuhkan di hadapan khalayak ramai. Terkenang kembali zaman kanak-kanak tika berumur sedemikian. Apa yang saya dan sahabat-sahabat sedang lakukan?

Bagaimana pula kita?

Dalam kemelut isu Syria, kita ahli PERMAI ada juga isu tersendiri. Isu baru-baru ini yang hangat diperkatakan; isu muroqib. Kita masih lagi sibuk membincangkan isu penjagaan keselamatan diri sendiri, menunding jari siapa yang perlu dipersalahkan. Masih lagi berdebat mengenai adab-adab yang semestinya sudah maklum namun amal yang masih lagi liat. Tak salah berbincang mencari solusi namun itulah gambaran tahap sikap kita.

Antara isu yang sentiasa berlegar juga; berkenaan perkahwinan. Teringat kata-kata Ustaz Tajol semasa Daurah MMY, “Cuba antum buat statistik dalam seminggu, mesti akan ada juga terkeluar topik kahwin”. Tidak dinafikan topik ini adalah perkara yang besar namun cara kita dalam membawa dan melihat sesuatu isu itu yang perlu dikoreksi. Sekadar gurauan atau melihat dari skop tanggungjawab? Sebesar mana sekalipun isu yang diketengahkan, namun jika perbincangan dihalatujukan dalam bentuk gurauan, natijah perbincangan tetap tidak membuah hasilkan sesuatu yang positif.

Apa Yang Penting Dalam Hidup Kita?

Cara kita memandang dan menilai sesuatu perkara bergantung pada apa yang kita letakkan sebagai tujuan utama. Kalau dihitung kembali masa; perkara apa yang paling banyak kita lakukan dalam sehari-harian. Tidur, Facebook, games, shopping, study atau?

رضي الله عنه ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : أبي هريرة عن

من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه حديث حسن رواه الترمذي وغيره ،

Daripada Abi Hurairah r.a dari Rasulullah SAW bersabda: “Daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan perkara yang tidak berguna padanya”. Hadith Hassan diriwayatkan oleh Tirmizi dan selain darinya.

روى عن الحسن البصري أنه قال : من علامة اعراض الله عن العبد أن يجعل شغله فيما لا يعنيه

Diriwayatkan dari Hassan Al-Basri sesungguhnya beliau berkata: “Daripada tanda Allah berpaling dari hambaNya, Allah akan menyibukkan seseorang itu pada perkara yang tidak bermanfaat baginya.”

Ya, Allah Maha Mengetahui bahawa keizzahan Islam akan terzahir melalui mereka, saudara kita di Syria dan Allah menyayangi mereka dengan menyibukkan mereka dengan perkara yang paling besar iaitu jihad di jalanNya. Sementara kita (saya khususnya) masih lagi bermain-main dengan hal-hal yang remeh.

Dr. Asyraf Bani Kinanah salah seorang pensyarah Universiti Yarmouk pernah melontarkan beberapa persoalan semasa kuliah. Ketika itu, beliau sedang membicarakan mengenai sifat-sifat seorang penuntut ilmu. Antara persoalannya; Adakah anda seorang yang sedikit tidur? Semasa tidur adakah terdapat buku di atas dada anda? Sebaik sahaja anda bangun dari tidur, adakah anda terus terfikirkan masalah ilmu dan syariat? Persoalan-persoalan ini membuatkan saya terfikir apa yang selama ini telah saya lakukan. Di sini dapat dilihat pada seorang penuntut ilmu dalam merasai apa yang penting baginya dan meletakkan sepenuh usahanya ke arah itu.

Kesimpulan

Perkara terpenting yang patut kita rasakan dalam kehidupan ini tidak lain dan tidak bukan adalah Tuhan Yang Menciptakan kita sendiri, Allah SWT. Yang Maha Mendengar tiap keluh kesah kita walau diri sentiasa dilumuri dengan lumpur dosa. Yang Maha Memberi walau suruhanNya sentiasa dilengah-lengahkan. Yang merupakan sumber kekuatan kita dalam menghadapi hari-hari dalam hidup.

Seorang mahasiswa mukmin sepatutnya berusaha menjadikan setiap detik masa mereka boleh dikira sebagai amal di sisi Allah SWT. Dalam setiap perkara yang dilakukan akan diselit niat untuk mencapai tujuan utama diciptakan di dunia ini, terutama melalui bidang yang sedang diceburi. InsyaAllah dari titik tolak ini, akan lahir keinginan untuk mengetahui apa yang terpenting dalam hidup, lalu berusaha untuk beramal seiring dengan akhlak Islamiyyah.

Akal tidak dapat dibatasi. Anggota tubuh tidak dapat dibungkam. Jika kita tidak disibukkan dengan perkara besar, kita akan disibukkan dgnperkara-perkara kecil

- Syed Muhammad Qutub-

Allahu Mustaaa’n. Wallahua’lam


*p/s: Sebenarnya artikel ni disediakan untuk tatapan ahli PERMAI (Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid) di Jordan di mana tempat saya menuntut ilmu sekarang. Moga bermanfaat buat semua lapisan

Sunday, October 10, 2010

Ahlan Wasahlan~

Alhamdulillah~Segala puji Bagi Allah.. Akhirnya saya kini sedang menetap di bumi barakah Jordan.. meneruskan cita-cita yang dahulunya tergendala buat sementara namun insyaAllah dengan tujuan yang sama. Bertolak dari airport KLIA jam 0330 menggamit kesedihan untuk meninggalkan keluarga tercinta. Perhentian di Kuwait selama 7jam dan terus ke Amman,Jordan. Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan. Terima kasih yang tak terhingga kepada akak2 senior terutama k.Suwaibah dan k.Husna. 18/09/10, pertama kali saya menjejakkan kaki di sini.

Bila direfleksikan balik turutan peristiwa sebelum datang ke sini, agak mengharukan bagi saya yang hanyalah seorang hamba yang tiada memiliki apa-apa..~Sekadar menjadi ibrah buat diri yang sering lalai~ ..bermula dengan perasaan mustahil untuk datang ke sini, namun terus dipermudahkan jalan oleh Allah dari segenap sudut; kewangan, perjalanan dan sesampai sahaja di jordan, Allah kurniakan pertemuan dengan sahabat lama saya. Subhanallah, Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..teringat kata ayah saya bila menghubungi keluarga tercinta,”Bila ayah fikir, Allah dah cukup permudahkan jalan bagi ‘anakanda’, jadi sekarang tinggal anakanda sahaja yang kena usaha sungguh-sungguh”.

Bila Takdir Itu Untuk Kita..

Begitulah, sekalipun datang ke sini dengan preparation yang amat kurang, dari segi bahasa terutamanya. Namun ingatlah, apa jua peristiwa atau takdir ke atas diri kita, sememangnya Allah tahu setakat mana kemampuan kita dan InsyaAllah itulah yang terbaik buat diri kita, seperti mana firman Allah;

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia akan mendapat pahala dari kebajikan dan ia mendapat seksa dari kejahatan yang dikerjakannya..”
Tapi setelah itu terserah kepada diri kita untuk mengusahakan perkara tersebut ke arah kebaikan atau ke arah keburukan atau tidak mengusahakan apa-apa.

“Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya) maka Allah akan mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotori”.
Jesteru sebenarnya tiada istilah Allah menzailmi kita atau membebankan kita kerana pilihan sebenarnya berada di tangan kita..Jadi berhentilah wahai diri dari meletakkan kesalahan pada orang lain kerana sebenarnya itulah pilihan yang telah kita lakukan tanpa kita sedari atau tidak. ~Jangan pandang remah dengan setiap keputusan yang bakal dibuat, fikir dan minta petunujuk dari Allah..InsyaAllah..

Wallahua’lam..Salam mahabbah~

~irbid..3;30pm..20/09/2010

:.Lemahnya kita.:

Persinggahan perjalanan dalam menuntut ilmu di KMK amat bermakna. Sekalipun ada yang yang bertanya mengapa datang ke KMK sekiranya memang ingin mengambil aliran agama.. Jawapannya mudah; kerana itulah yang telah Allah aturkan untuk saya.

Alhamdulillah.. Pada permulaan memang sukar untuk adapt dengan suasana masa yang menghimpit. Sememangnya perjuangan bukanlah suatu yang senang, Alhamdulillah Allah teguhkan niat saya bahawa saya datang untuk belajar jadi apa-apa yang berlaku adalah pelajaran bagi saya, insyaAllah. Di sanalah saya menyedari hakikat ilmu adalah milik Allah. Perlunya saya bermujahadah untuk betulkan niat agar belajar kerana Allah dan lilIslam. InsyaAllah, di situlah kita akan temui titik urusan dipermudahkan, semangat juga akan tegar dalam menghadapi ketewasan.

Dalam kepayahan beginilah, baru menyedari hakikat diri seorang hamba. Lemah tanpa daya..terimbau, agungnya hak milik Allah..hatta nak jawab satu soalan matematik pun berhempas-pulas. Subhanallah... Mungkin perkara sekecil ini kita terlepas pandang. Bila hati tak selari dengan amal, hanya melalui tanpa menghayati.. Tapi perkara sekecil inilah sebenarnya yang mengajar kita erti keagungan AlKhaliq. Macam mana dalam AlQuran, perumpamaan yang Allah adakan, menunjukkan betapa lemahnya kita;

“Wahai manusia! Telah dibuat suatu perumpamaan. Maka dengarkanlah! Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah tidak dapat mencipta seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, mereka tidak akan dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Sama lemahnya yang menyembah dan yang disembah.” ( Al-hajj; 73)

Banyak lagi ibrah yang boleh di ambil dari persinggahan ini. Inilah cabang tarbiah Allah kepada kita. Jika Allah tak makbulkan impian kita hari ini,jangan berputus harap mungkin datangnya sinar di lain hari tapi jika yang diharap tak jua kunjung tiba, lihatlah sejenak di sekeliling kita, sebenarnya mungkin Allah dah gantikan suatu yang lebih kepada kita tanpa disedari atau yang diminta bukanlah yang terbaik ..jadi setiap apa yang berlaku dalam hidup saya dan sahabat sekalian, jangan sesekali menyesal walaupun dengan perkataan ‘kalau’. Usah dibuka pintu kepada syaitan untuk memasuki hati kita. Hayatilah kehidupan sekarang dan masa lalu sebagai perisai dan persiapan untuk menghadapi kehidupan yang bakal menjengah..

Wallahua’lam..Salam Mahabbah~

Saturday, July 24, 2010

:. Jurang Suasana .:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Sudah sekelian lama rasanya tak melakar sesuatu di sini..Sememangnya kewajipan yang melebihi dari masa yang ada.. Banyak perkara perlu disusun atur pelaksanaannya mengikut kepentingan..hasilnya blog ini mesti dibiarkan buat sementara waktu..:)

Sekarang saya telah menyambung karier sebagai pelajar secara rasmi..Tapi sememangnya kita adalah pelajar setiap masa; Mengambil pengajaran dan pelajaran dalam setiap suatu yang berlaku…

Secara rasminya, kini saya telah menyambung pengajian di Kolej Mara Kulim. Alhamdulillah..secara totalnya sememangnya jurang suasana yang ketara berbanding tempat pengajian saya sebelum ini. Menghadapi realiti ‘inilah masyarakat sekarang’ menghasilkan reranting dari segi pemikiran dan tindakan. Tanpa ilmu,kefahaman dan keyakinan mana mungkin mampu meredah jurang ini dan itulah yang sedang saya alami.. Dalam proses mencari dan membentuk diri..

Sebenarnya, prisip hidup mesti jelas agar wasilah yang dilalui fokus menuju pengakhiran yang dirancang..

Kalam ini hanyalah sekadar mukaddimah setelah penutup yang sekian lama…InsyaAllah pena ini akan sentiasa melakar..berusaha istiqomah dengan tinta hidayah Allah..

..Salam Syaaban menuju Ramadhan~.. Wassalam..

”Ya Allah, janganlah Engkau biarkan kami membuat keputusan sendiri walau sekelip mata mahupun masa yang lebih singkat dari itu..Tunjukilah kami..” Amiin..


~InsyaAllah~


Thursday, April 22, 2010

KEMBARA MTS

Bismillahirrahmaanirrahim..

Assalamualaikum..

Apa khabar iman dan tubuh badan kita kita hari ini? Moga keduanya sihat walafiat… Alhamdulillah,,sebenarnya tiada apa cerita yang ingin saya kongsikan bersama sahabat, cuma sedikit pengenalan kepada label terbaru saya..KEMBARA MTS..


Baru-baru ini saya sedar, untuk berjaya tidak perlu untuk kita force diri mengikut cara orang lain. Tapi cukuplah jika kita ambil sedikit input darinya dan cuba mengolah mengikut kemampuan dan keselesaan kita. Sebenarnya ‘berjaya’ tu merujuk kepada tujuan blogging. Buat masa sekarang saya merasakan lebih selesa untuk memberi manfaat kepada diri dan sahabat [kalau ada J] melalui berkongsi, bukan dengan memberi. Ini kerana saya ingin manfaatkan kembara saya di sekolah tercinta MTS untuk saya ambil pengajaran dan jadikan ia satu cabang ilmu peringatan untuk masa kini dan akan datang. Sebab itulah label ini bernama KEMBARA MTS..dan juga disebabkan ilmu yang dirasakan terhad..[amat menyedihkan]

'Setiap yang berlaku ada hikmah'

Tujuan saya coretkan di sini hanya untuk pasakkan matlamat saya..InsyaAllah moga teguh. Melalui pengalaman2 ini saya rasakan ia menjadi satu wadah buat saya dalam mengakui kesalahan saya yang lalu secara formal. Segala kesalahan khususnya yang kita lakukan, hendaklah diambil pengajaran darinya..kerana kita tidak ingin lagi melalui situasi yang mungkin sama atau mungkin tidak dengan ciri kesalahan yang sama.

Seterusnya, jika dipanjangkan umur oleh al-Khaliq Allah SWT, saya akan menjadi seorang dewasa seterusnya warga emas dan menemui kematian. Semestinya saya akan meninggalkn masa-masa yang saya lalui kini; alam sekolah menengah(memang dah tinggal) @ remaja. Jadi saya tidak ingin menjadi seorang yang lupa asal-usul saya. Mungkin satu hari nanti saya adalah seorang pendidik dan saya tidak ingin mendidik pelajar hanya menggunakan fikiran; ‘saya adalah guru’ tapi saya juga ingin mendidik mereka dengan fikiran; ‘saya juga pernah menjadi pelajar seperti mereka’. Saya tak salahkan insan-insan dewasa dalam menangani isu keremajaan kerana dengan tekanan yang dihadapi mereka ketika itu sebagai seorang dewasa, mana mungkin mampu menyelami dua watak dalam satu masa kecuali dengan kemahuan dan usaha.

Sebenarnya sudah ada post yang berkaitan,,itula sebagai gambaran mengenai apa yang saya coretkan di atas. Apa yang penting..kerjasama//,,sekarang saya ingin mempersiapkan diri dalam menghadapi kehidupan luar yang bakal menjengah. Melaluinya dengan pergantungan kepada Allah semata-mata..moga dipermudahkan urusan dan diperteguhkan matlamat. InsyaAllah…

~Kulewati Kembara Ini..Hanya Menuju Redha Ilahi!~ Doakan saya..

Wallahu’alam..

Monday, April 19, 2010

Kisah Mangkuk Cantik,Madu dan Sehelai Rambut..[1]

= = = = = = = = = = = = = = = = = = =

"Suatu ketika, Rasulullah SAW, Abu Bakar, Umar dan Uthman berkunjung sebagai tetamu ke rumah Ali. Di sana mereka dijamu oleh Fatimah, puteri Rasululllah SAW sekaligus isteri Ali bin Abi Thalib. Fatimah menghidangkan untuk mereka semangkuk madu. Ketika mangkuk itu diletakkan,sehelai rambut jatuh melayang dekat mereka. Rasulullah SAW segera meminta para sahabatnya untuk membuat perbandingan terhadap tiga benda tersebut, iaitu mangkuk yangcantik, madu dan sehelai rambut.

:: Hargailah jika dirimu sudah memiliknya ::

Abu Bakar yang mendapat giliran pertama segera berkata, "iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini. Orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut".


Rasulullah SAW tersenyum, lalu menyuruh Umar untuk mengungkapkan kata-katanya. Umar segera berkata, "kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini. Rajanya lebih manis dari madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Rasulullah SAW kembali tersenyum, lalu berpaling kepada Uthman seraya mempersilakannya untuk membuat perbandingan tiga benda di hadapan mereka. Uthman berkata, "ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini. Orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Rasulullah SAW kembali tersenyum kagum mendengar perumpamaan yang disebutkan para sahabatnya itu. Baginda pun segera mempersilakan Ali bin Abi Thalib untuk mengungkapkan kata-katanya. Ali berkata, "tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini. Menjamu tamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tamu senang sampai kembali pulang ke rumahnya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Rasulullah SAW segera mempersilakan Fathimah untuk membuat perbandingan tiga benda di hadapan mereka. Fathimah berkata, "seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik. Wanita yang solehah itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tidak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Setelah mendengarkan perumpamaan dari para sahabatnya, Rasulullah SAW segera berkata, `seorang yang mendapat taufiq untuk beramal lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini. Beramal dengan perbuatan baik itu lebih manis dari madu, dan berbuat amal dengan ikhlas, lebih sulit dari meniti sehalai rambut."

Malaikat Jibril yang hadir bersama mereka, turut membuat perumpamaan. "menegakkan tiang-tiang agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik. Menyerahkan diri, harta dan waktu untuk agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan agama sampai akhir hayat lebih sulit dari meniti sehalai rambut".

Allah SWT membuat perumpamaan dengan firmanNya dalam hadis Qudsi, "syurgaKu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu. Nikmat syurgaKu itu lebih manis dari madu dan jalan menuju ke syurgaKu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".


Sedikit Dari Saya..

Dahulu saya dah pernah baca kisah ini dari sebuah majalah. Tiba-tiba teringat balik dan ingin berkongsi dengan sahabat sekalian, lalu saya terjumpa kisah ini di sini:

http://www.activeboard.com/forum.spark?aBID=1623&p=3&topicID=5808873

Mengenai kesahihan sumber, saya tak dapat nak utarakan. Jadi kepada mana-mana sahabat yang tahu, amatlah dialu-alukan utntuk berkongsi.


Pandangan Sisi Pertama; ‘Hanya Jauhari Mengenal Manikam’

Dapat kita lihat bagaimana hanya dengan tiga benda; mangkuk,madu dan rambut dapat dipelbagaikan perumpamaan padanya. Begitulah caranya insan bijak pandai dan soleh melihat sesuatu, mengolah sesuatu perkara ‘sepositif’ yang boleh. Agar apa jua yang berlaku tidak berlalu dengan sia-sia. Sebenarnya semua benda boleh dimanipulasikan oleh fikiran kita. Tapi berfikir menggunakan akal semata-mata boleh mengundang bala seperti mana kita lihat saintis zaman sekarang yang mengetahui ada kuasa yang mengatur kehidupan ini tapi masih menafikan malahan memutar belitkan fakta.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mencampur adukkan kebenaran dengan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya”.

(Surah Al-Baqarah, ayat:42)

Disebabkan itulah apa jua pemikiran, hendaklah mendahului wahyu; Al-Quran sunnah, agar kebijaksanaan di dunia menjadi satu manfaat di akhirat kelak.

Sebenarnya pandangan yang kita keluarkan akan menafsirkan siapa kita. Ini boleh dilihat dengan kisah di atas yang kita ketahui setiap perumpamaan yang diberikan sahabat Rasulullah menggambarkan itulah pekerti utama mereka. Jika kita lihat seseorang itu fasih dalam berbicara mengenai kedoktoran semestinya kita katakan, "Dia ni seorang doktor atau mungkin pernah belajar".

Jadi berkatalah dengan berpada-pada,bimbang akan membinasakan diri kita. Bagaimana Islam amat menyuruh umatnya menjaga lisan sehinggakan galakan untuk diam lebih diutamakan (jika tak mampu berkata-kata yang bermanfaat). Pamerkanlah 'kemusliman' kita dalam berbicara, agar Islam itu tampak indah di mata semua.

Saya sebenarnya tak ingin memanjangkan kalam pada pandangan sisi pertama ini kerana pada pandangan sisi kedua saya yang lebih ingin saya bincangkan. Sekadar perkongsian pincang dalam mengharapkan tunjuk ajar dari sahabat2..

Seterusnya dalam Pandangan sisi kedua: Malu Plus Keberanian.


Wallahu’alam..

Thursday, April 15, 2010

Syukurlah~~

ASSALAMUALAIKUM..

Alhamdulillah,, warna-warni kehidupan semakin berseri. Dari satu kegagalan hinggalah kegagalan yang lain jelas nampak pada pandangan. menghitung musibah yang melanda amat memenatkan,,tak terkira(pd pandangan diri). Tapi sebenarnya nikmat Allah lebih tak terhitung tapi jarang sekali manusia yg alpa cuba untuk mensyukuri. Hanya tahu mementingkan diri sendiri dengan mengeluh 'mengapa aku?'.

Segala puji bagi Allah..kerana mengurniakan semua itu,, ya, kerana mengurniakan kekurangan ini. Membuat diri untuk lebih mengenali lemahnya seorang hamba. Rupanya tiada apa perlu dirisaukan kerana apa yang penting tindakan susulan untuk hadapi kenyataan. Adakah hanya merintih kesedihan? 'Bertanyakan Ilahi' mengapa dikurniakan semua ini kpd diri? em..jika itulah tindakan yg dipilih, rupanya tanpa sedar diri telah menjerumuskan kpd masalah dan musibah yang lebih besar..iaitu musibah bila hati tak tahu bersyukur..Jauhilah, bila ini terjadi sukar bagi akal untuk menimbangkan fikiran sama ada hendak dipandu oleh nafu atau iman.


:: musibah itu nikmat ::

Jadi tindakan yang sepatutnya adalah menerimanya hadir dalam kehidupan dan jadikan ia sebahagian dari hidup..Binalah bermacam alasan untuk tidak menyalahkan takdir Ilahi. Inilah masanya untuk kita beralasan. Bila hati mula redha, mulakan langkah untuk menyelesaikannya. Kadang2 lebih mudah jika kita buat tak tahu..tapi tanpa kita sedar masalah itu akan mengekori kita sehinggakan satu hari, kita akan rimas dan ketenangan hati tidak lagi bertandang. Sedangkan kita tak tahu lagi apakah yg akan disediakan kepada kita di masa hadapan. Mungkin satu lagi cabaran untuk mendewasakan diri?

Alhamdulillah..satu hajat telah dimakbulkan Allah..tapi sudahkah diri laksanakan apa yg diri janjikan kpdNya? perlu terus bermujahadah..gunakan segala senjata yg ada~ doa..anda seorang yang menyembah Allah Yang Esa, lalu mengapa perlu untuk berharap selain dariNya?? Anda sudah berada dalam cahaya kebenaran, jesteru apa lagi yang kita harapkan selain mengolah apa yang telah dikurniakan Ilahi menjadi ladang menuju akhiratNya..menuju pertemuan yang pasti..

Bersyukurlah..dan syukurlah wahai hamba..semuanya telah tersedia takdir yg terbaik utk dirimu..mulakan langkah untuk jadikan kegagalan sebagai kekuatan..InsyaAllah~~

~ Hadapkanlah wajahmu kepada agama yang lurus dan benar..orang beriman itu tak pernah merasa lemah dan bersedih..