Friday, March 9, 2012

CERMIN DIRI; KITA & MEREKA

Bismillah..

Alhamdulillah. Sedikit dari saya buat sekian lama :)

...........................................................

Pergolakan di Syria benar-benar mengetuk pintu hati saya selaku insan yang lemah. Kita melihat penindasan tanpa perikemanusiaan. Dari pandangan seorang manusia secara fitrahnya; pandangan simpati buat mereka. Namun pada hakikatnya bukan pandangan itu yang mereka harapkan. Apa yang mereka harapkan agar dari kisah inilah bangkitnya jiwa-jiwa yang terlena dibuai dunia. Bangkitnya pemuda pemuda dari hanyutan hiburan. Bangkitnya iman agar prihatin sesama saudara.

Pilu, malu dan terinspirasi apabila melhat kisah seorang anak kecil berusia 4 tahun yang kematian ibunya. Dengan penuh bersemangat tanpa linangan air mata, si kecil melaungkan takbir dan slogan supaya Basyar Assad dijatuhkan di hadapan khalayak ramai. Terkenang kembali zaman kanak-kanak tika berumur sedemikian. Apa yang saya dan sahabat-sahabat sedang lakukan?

Bagaimana pula kita?

Dalam kemelut isu Syria, kita ahli PERMAI ada juga isu tersendiri. Isu baru-baru ini yang hangat diperkatakan; isu muroqib. Kita masih lagi sibuk membincangkan isu penjagaan keselamatan diri sendiri, menunding jari siapa yang perlu dipersalahkan. Masih lagi berdebat mengenai adab-adab yang semestinya sudah maklum namun amal yang masih lagi liat. Tak salah berbincang mencari solusi namun itulah gambaran tahap sikap kita.

Antara isu yang sentiasa berlegar juga; berkenaan perkahwinan. Teringat kata-kata Ustaz Tajol semasa Daurah MMY, “Cuba antum buat statistik dalam seminggu, mesti akan ada juga terkeluar topik kahwin”. Tidak dinafikan topik ini adalah perkara yang besar namun cara kita dalam membawa dan melihat sesuatu isu itu yang perlu dikoreksi. Sekadar gurauan atau melihat dari skop tanggungjawab? Sebesar mana sekalipun isu yang diketengahkan, namun jika perbincangan dihalatujukan dalam bentuk gurauan, natijah perbincangan tetap tidak membuah hasilkan sesuatu yang positif.

Apa Yang Penting Dalam Hidup Kita?

Cara kita memandang dan menilai sesuatu perkara bergantung pada apa yang kita letakkan sebagai tujuan utama. Kalau dihitung kembali masa; perkara apa yang paling banyak kita lakukan dalam sehari-harian. Tidur, Facebook, games, shopping, study atau?

رضي الله عنه ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : أبي هريرة عن

من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه حديث حسن رواه الترمذي وغيره ،

Daripada Abi Hurairah r.a dari Rasulullah SAW bersabda: “Daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan perkara yang tidak berguna padanya”. Hadith Hassan diriwayatkan oleh Tirmizi dan selain darinya.

روى عن الحسن البصري أنه قال : من علامة اعراض الله عن العبد أن يجعل شغله فيما لا يعنيه

Diriwayatkan dari Hassan Al-Basri sesungguhnya beliau berkata: “Daripada tanda Allah berpaling dari hambaNya, Allah akan menyibukkan seseorang itu pada perkara yang tidak bermanfaat baginya.”

Ya, Allah Maha Mengetahui bahawa keizzahan Islam akan terzahir melalui mereka, saudara kita di Syria dan Allah menyayangi mereka dengan menyibukkan mereka dengan perkara yang paling besar iaitu jihad di jalanNya. Sementara kita (saya khususnya) masih lagi bermain-main dengan hal-hal yang remeh.

Dr. Asyraf Bani Kinanah salah seorang pensyarah Universiti Yarmouk pernah melontarkan beberapa persoalan semasa kuliah. Ketika itu, beliau sedang membicarakan mengenai sifat-sifat seorang penuntut ilmu. Antara persoalannya; Adakah anda seorang yang sedikit tidur? Semasa tidur adakah terdapat buku di atas dada anda? Sebaik sahaja anda bangun dari tidur, adakah anda terus terfikirkan masalah ilmu dan syariat? Persoalan-persoalan ini membuatkan saya terfikir apa yang selama ini telah saya lakukan. Di sini dapat dilihat pada seorang penuntut ilmu dalam merasai apa yang penting baginya dan meletakkan sepenuh usahanya ke arah itu.

Kesimpulan

Perkara terpenting yang patut kita rasakan dalam kehidupan ini tidak lain dan tidak bukan adalah Tuhan Yang Menciptakan kita sendiri, Allah SWT. Yang Maha Mendengar tiap keluh kesah kita walau diri sentiasa dilumuri dengan lumpur dosa. Yang Maha Memberi walau suruhanNya sentiasa dilengah-lengahkan. Yang merupakan sumber kekuatan kita dalam menghadapi hari-hari dalam hidup.

Seorang mahasiswa mukmin sepatutnya berusaha menjadikan setiap detik masa mereka boleh dikira sebagai amal di sisi Allah SWT. Dalam setiap perkara yang dilakukan akan diselit niat untuk mencapai tujuan utama diciptakan di dunia ini, terutama melalui bidang yang sedang diceburi. InsyaAllah dari titik tolak ini, akan lahir keinginan untuk mengetahui apa yang terpenting dalam hidup, lalu berusaha untuk beramal seiring dengan akhlak Islamiyyah.

Akal tidak dapat dibatasi. Anggota tubuh tidak dapat dibungkam. Jika kita tidak disibukkan dengan perkara besar, kita akan disibukkan dgnperkara-perkara kecil

- Syed Muhammad Qutub-

Allahu Mustaaa’n. Wallahua’lam


*p/s: Sebenarnya artikel ni disediakan untuk tatapan ahli PERMAI (Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid) di Jordan di mana tempat saya menuntut ilmu sekarang. Moga bermanfaat buat semua lapisan

No comments: